Pengenalan 

Program Pusat Bertauliah Dewan Bahasa dan Pustaka (PBDBP)  dimulakan pada tahun 2014. Bagi memenuhi syarat kelayakan menjadi sebuah Pusat Bertauliah, modul pengajaran dan pembelajaran dibangunkan mengikut spesifikasi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan sokongan kewangan dan kepakaran daripada Bahagian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan JPK. PBDBP telah didaftarkan atas nama Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP (PPKKADBP) dan mendapat pentauliahan pada 24 Disember 2016.

            Dengan pentauliahan ini, PPKKADBP boleh menawarkan tiga kursus berakreditasi dalam bidang Editorial. Kursus Kemahiran Editorial DBP ini menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia bidang Editorial Tahap 3 (SKM 3), Diploma Kemahiran Malaysia bidang Editorial Tahap 4 (DKM 4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia bidang Editorial Tahap 5 (DLKM 5). Kursus ini ditawarkan secara sepenuh masa selama setahun bagi setiap tahap. Lulusan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia bidang Editorial Tahap 5 seterusnya boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di universiti yang menawarkan kursus yang berkaitan.

            PPKKADBP merupakan sebuah institut latihan kemahiran di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pusat ini adalah yang pertama ditubuhkan oleh kerajaan bagi mengendalikan latihan kemahiran dalam bidang penerbitan khususnya editorial.

            Graduan daripada PPKKADBP dilengkapkan dengan pengetahuan, kemahiran, keyakinan dan sahsiah diri untuk merebut peluang kerjaya dalam sektor penerbitan. Pengiktirafan kelayakan serta pengalaman yang diperoleh semasa latihan juga akan membantu mereka untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat pengajian tinggi di negara ini.

            Graduan pusat ini juga diterapkan dengan sikap inovatif, kreatif dan beretika tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab apabila berada dalam dunia pekerjaan. Usaha ini selari dengan cabaran Wawasan 2020 yang menuntut para graduan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian berpendapatan tinggi serta bermoral dan beretika tinggi.