Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP

Pengenalan

Pusat Bertauliah Akademi DBP telah memulakan pengambilan pelajar pertamanya pada tahun 2019.  Bagi memenuhi kelayakan menjadi pusat bertauliah, modul pengajaran dan pembelajaran dibangunkan mengikut spesifikasi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan telah mendapat sokongan kewangan dan kepakaran daripada Bahagian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, JPK.  Pusat Bertauliah Akademi DBP telah ditauliahkan atas nama Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP (PPKKADBP) pada 22 Disember 2018.

PPKKADBP merupakan sebuah institut latihan kemahiran di bawah kelolaan DBP, Kementerian Pendidikan Malaysia.  Pusat ini adalah yang pertama ditubuhkan oleh DBP bagi mengendalikan latihan kemahiran dalam bidang penerbitan khususnya editorial.  Dengan pentauliahan ini, PPKKADBP layak menawarkan kursus berakreditasi dalam bidang Editorial antaranya Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3), Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (DKM4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Tahap 5 (DLKM 5).  Ketiga-tiga kursus tersebut ditawarkan secara berperingkat.

Pelajar lulusan DKLM 5 yang ingin melanjutkan pengajian seterusnya boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di universiti yang menawarkan kursus berkaitan.  Pengiktirafan kelayakan serta pengalaman yang diperoleh semasa latihan ini juga akan membantu mereka untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat pengajian tinggi di negara ini.

Graduan daripada PPKKADBP dilengkapkan dengan pengetahuan, kemahiran, keyakinan dan sahsiah diri untuk merebut peluang kerjaya dalam sektor penerbitan.  Selain itu, mereka juga diterapkan dengan sikap inovatif, kreatif, bermoral dan beretika tinggi, sesuai dengan tugas dan tanggungjawab apabila berada dalam dunia pekerjaan.  Usaha ini selari dengan wawasan negara ke arah revolusi industri 4.0 yang menuntut pembangunan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian berpendapatan tinggi.

Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP merupakan pusat latihan kemahiran di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).  Institusi ini ditubuhkan pada tahun 2016.  Pusat ini adalah yang pertama ditubuhkan dan satu-satunya pusat yang menawarkan latihan kemahiran dalam bidang editorial dan penterjemahan di Malaysia.